BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, March 18, 2008

MENARIK HARI INI

Assalamualaikum.

Apabila membaca akhbar hari ini, banyak sekali peristiwa menarik yang berlaku. Tambahan pula pada tengahari tadi, Pak Lah telah mengistiharkan barisan kabinet barunya. Ramai muka-muka baru yang telah dilantik. Mungkin inilah orang Pak Lah dan orang Najib. Secara tak langsung ramailah muka-muka lama digugurkan, dan tentunya mereka dianggap sebagai saki-baki 'orang Mahathir'. Pastilah KJ tidak disenaraikan, sebab ramai yang percaya beliau adalah salah satu faktor kekalahan teruk BN kali ini.

Pak Lah nak elak lebih banyak kontroversi lah tu...

Apa yang menarik dilaporkan oleh akhbar-akhbar hari ini?

1. Fail hilang dipejabat MB Kedah. Yang ada hanyalah kerusi meja dan sebuah laptop sahaja.

Agaknya bekas MB tu tak guna sistem fail timbul lagi dah. Semuanya ada dalam laptop tu kot...

2. Kelmarin (17/3/2008) Ku Li telah mengutus surat kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO seluruh negara, mengusulkan supaya diadakan satu mesyuarat khas pada 11 Mei ini bersempena dengan hari ulang tahun UMNO. Mesyuarat ini bertujuan untuk mengenal pasti mana-mana kesilapan BN dalam PRU12 lalu. Peliknya, Anuar Musa pula berkata mesyuarat khas seperti itu tidak perlu dilakukan, atas dasar masalah parti tidak harus dibincangkan secara terbuka.

Ku Li ada hasrat lain ke... Mungkin nak duduk di Istana Putrajaya pula setelah percubaan pada zaman Mahathir dulu tidak kesampaian. Kau orang berduakan pernah satu kapal, ada baiknya Ku Li jangan ganggu gugat Pak Lah sekarang. Buat-buat baiklah dulu. Masa Najib cabar Pak Lah kelak, barulah masuk jarum. Kot-kot masa tu ada rezki...

3. Sahlah MB Perak dan MB Perlis angkat sumpah jawatan hari ini. Semoga selamatlah semuanya. Selamat berkhidmat dan harap-harap tidak adalah sebarang kecoh lagi.

Orang Terengganu macammana? Nak tunggu PRU13 ke....

4. MB Kedah dah umumkan penurunan cukai tanah sehingga 30%. Kerajaan Selangor pula sedang dalam proses untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma setiap bulan untuk kegunaan domestik. Baru-baru ini KM Pulau Pinang mengumumkan tunggakan bayaran parking kereta dan sewa dimansuhkan.

Nampaknya kerajaan BR tidak berjanji kosong. Sesiapa yang tidak undi BR hari tu, baiklah fikirkan semula pada PRU13 nanti. Namun, bab turun dan percuma ni, rasanya eloklah negeri-negeri lainpun ambil tindakan yang sama. Pasti naik saham...

Banyak lagi yang menarik dalam akhbar hari ini,tapi dah lewat dah ni...Jumpa lagi lah!

Monday, March 17, 2008

THE NEW EPISODE

Hari ini beberapa MB baru telah disahkan jawatannya. Di Perak, sahlah Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, sebagai MB yang baru. Majlis mengangkat sumpah Adun PAS Pasir Panjang ini terpaksa ditangguhkan beberapa hari lalu kerana karenah DAP diikuti oleh bantahan oleh PKR. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga parti telah sepakat untuk bekerjasama dalam mentadbir Perak. Apa yang menarik untuk kita tunggu dan lihat, adakah pakatan ini akan kekal tenang, atau bakal kecoh sebagaimana sebelumnya.

Di Perlis, sejak beberapa hari ini kecoh sedikit, sampaikan orang Perlis sendiri tidak tahu siapa yang menjadi MB mereka. Namun hari ini segala persoalan telah terjawab. Atas sokongan majoriti ADUN dan atas perkenan Raja Perlis, Datuk Dr. Mat Isa Sabu, Adun Bintong dengan rasminya mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baru. Apalah nasib Syahidan selepas ini. Ini yang seronok untuk dilihat. Adakah beliau akan menjadi pembangkang kepada kerajaannya sendiri, atau bakal berakhir dengan perletakan jawatan.

Sehingga kini, semua negeri sudahpun mempunyai MB atau KM masing-masing. Kelantan, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah mengekalkan MB/KM yang lama. 4 negeri mendapat MB/KB yang baru, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. MB Terengganu masih belum mengangkat sumpah jawatan. Adakah benar khabar angin yang bertiup, bahawa MB lama tidak diperkenankan oleh Sultan Terengganu. Mungkin dalam sehari dua lagi teka-teki ini akan terjawab.

Banyak kejutan yang muncul melalui PRU12 ini. Kemenangan besar parti-parti pembangkang dalam sejarah negara, sehingga boleh memerentah di lima buah negeri. Sejarah juga mencatatkan buat pertama kalinya UMNO malalui pakatan BN gagal mencapai kemenangan majoriti 2/3 di parlimen. Tewasnya nama-nama besar dalam politik tanah air yang juga merupakan pengerusi-pengerusi parti gabungan BN, iaitu Samy Vellu (MIC), M. Kaveas (PPP), serta Koh Soo Koon (Gerakan) seakan sukar dipercayai.

Rasanya buat pertama kalinya dalam sejarah negara, ada menteri besar tidak dilantik semula untuk memegang jawatan itu. Dan paling menarik, pada pandangan saya, sultan-sultan kelihatannya baharu nak menunjukkan kuasanya, yang pada pandangan ramai, selama ini sultan-sultan hanya menerima sahaja nasihat/pandangan menteri besarnya.

Inilah The New Episode politik tanah air. Kita tunggulah The Next Episode. Mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang bakal dicatatkan dalam sejarah negara kita.

Sunday, March 16, 2008

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum wrb.

TRALAYAN adalah satu medan intuk kita saling berkongsi idea dan maklumat di ruang siber ini. Selamat datang dan terimalah salam perkenalan dari saya.

Sehari dua ini kita diselubungi oleh isu-isu pascapilihanraya. Banyak perkara menarik yang berlaku. Semuanya bakal merancakkan lagi medan pilitik di negara kita. Apa yang berlaku hari ini pastinya akan mendatangkan kesan kemudian hari. Lagi banyak perkara menarik yang bakal berlaku. Tak sabar rasanya nak tunggu. Banyak lagilah yang akan dapat dikongsi bersama. Akan banyak lagilah peristiwa-peristiwa yang bakal diabadikan sebagai sejarah negara. Pasti seronok melalui semua ini. Dan juga pasti mendebarkan.

Dalam masa yang terdekat ini, pastinya kita tertunggu-tunggu perkembangan di Terengganu dan Perlis. Akan selesaikah masalah di Perak setelah MB baru mengangkat sumpah esok. Berapa lamakah kerajaan pakatan BA mampu bertahan di Perak dan Selangor, apa akan jadi kepada Pak Lah dan UMNO selepas ini, dengar-dengar pemilihan pucuk pimpinan baru di setiap bahagian dan negeri akan bermula sekitar Julai atau Ogos ini, Pulau Pinang macam mana? Mampukan kerajaan PAS di Kedah bertahan selama di Kelantan, apakah nasib Mukhriz selepas ini, nasib KJ pula macam mana???

Seronok, memang seronok, berwarna-warni betul arena politik negara kita . . . .