BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, March 17, 2008

THE NEW EPISODE

Hari ini beberapa MB baru telah disahkan jawatannya. Di Perak, sahlah Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, sebagai MB yang baru. Majlis mengangkat sumpah Adun PAS Pasir Panjang ini terpaksa ditangguhkan beberapa hari lalu kerana karenah DAP diikuti oleh bantahan oleh PKR. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga parti telah sepakat untuk bekerjasama dalam mentadbir Perak. Apa yang menarik untuk kita tunggu dan lihat, adakah pakatan ini akan kekal tenang, atau bakal kecoh sebagaimana sebelumnya.

Di Perlis, sejak beberapa hari ini kecoh sedikit, sampaikan orang Perlis sendiri tidak tahu siapa yang menjadi MB mereka. Namun hari ini segala persoalan telah terjawab. Atas sokongan majoriti ADUN dan atas perkenan Raja Perlis, Datuk Dr. Mat Isa Sabu, Adun Bintong dengan rasminya mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baru. Apalah nasib Syahidan selepas ini. Ini yang seronok untuk dilihat. Adakah beliau akan menjadi pembangkang kepada kerajaannya sendiri, atau bakal berakhir dengan perletakan jawatan.

Sehingga kini, semua negeri sudahpun mempunyai MB atau KM masing-masing. Kelantan, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah mengekalkan MB/KM yang lama. 4 negeri mendapat MB/KB yang baru, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. MB Terengganu masih belum mengangkat sumpah jawatan. Adakah benar khabar angin yang bertiup, bahawa MB lama tidak diperkenankan oleh Sultan Terengganu. Mungkin dalam sehari dua lagi teka-teki ini akan terjawab.

Banyak kejutan yang muncul melalui PRU12 ini. Kemenangan besar parti-parti pembangkang dalam sejarah negara, sehingga boleh memerentah di lima buah negeri. Sejarah juga mencatatkan buat pertama kalinya UMNO malalui pakatan BN gagal mencapai kemenangan majoriti 2/3 di parlimen. Tewasnya nama-nama besar dalam politik tanah air yang juga merupakan pengerusi-pengerusi parti gabungan BN, iaitu Samy Vellu (MIC), M. Kaveas (PPP), serta Koh Soo Koon (Gerakan) seakan sukar dipercayai.

Rasanya buat pertama kalinya dalam sejarah negara, ada menteri besar tidak dilantik semula untuk memegang jawatan itu. Dan paling menarik, pada pandangan saya, sultan-sultan kelihatannya baharu nak menunjukkan kuasanya, yang pada pandangan ramai, selama ini sultan-sultan hanya menerima sahaja nasihat/pandangan menteri besarnya.

Inilah The New Episode politik tanah air. Kita tunggulah The Next Episode. Mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang bakal dicatatkan dalam sejarah negara kita.

0 comments: