BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, May 4, 2008

SETUJU!

Assalamualaikum wrb.

Jumpa lagi. Kali ini saya nak menulis sesuatu berkaitan dengan apa yang disiarkan dalam akhbar hari ini.

SETUJU 1

PM mengatakan bahawa kos bagi projek-projek akan dikurangkan bagi memberikan keutamaan kepada keperluan makanan. Jarang saya nak bersetuju 100% dengan Pak Lah, tetapi tidak dalam hal ini. Malah saya juga fikir bahawa bukan setakat mengurangkan kos semata-mata, sebaliknya sesetengah projek perlu dihentikan terus, seperti projek jambatan kedua ke Pulau
Pinang. Dalam keadaan sekarang, memang wajar kerajaan mengambil keputusan tersebut. Apa gunanya pembangunan jika tidak ada apa yang nak dimakan.

SETUJU 2

Kerajaan Negeri Kedah telah membatalkan permit Konsert Gegeriuh, anjuran syarikat komunikasi Digi. Bersetuju dengan MB bahawa akidah rakyat sangat utama, dan perlu dipelihara. Saya sudah menyaksikan betapa rosaknya para remaja hari ini dalam konsert Jomheboh TV3 yang diadakan di Kuantan tahun lepas. Berpeluk, cium tampa segan silu. Malah ada pakwe yang memikul makwenya atas tengkuk. Mungkin ada yang 'rosak' selepas konsert malam itu. Jadi tindakan yang diambil oleh kerajaan Kedah sangat tepat sekali. Kepada para pembaca, bukan salah untuk berhibur, tetapi biarlah secara sederhana. Ikutlah panduan yang telah digariskan dalam Islam.

SETUJU 3

Turut dimuatkan dalam akhbar hari ini adalah kesediaan MB Perak untuk mengadap Sultan Perak bagi memohon maaf atas kesilapannya. Satu tindakan yang harus dipuji, dan amat selari dengan seruan Islam. Kalau dah salah, harus mohon maaf.

Disamping itu, harap MB akan memohon perkekan Baginda supaya hasratnya dapat dilaksanakan. Betul kata MB, macamana nak buat kerja kalau pegawai yang diamanahkan tidak ikut arahan. Jelas sekali bahawa itu adalah satu tindakan mensabotaj. Orang seperi ini tidak boleh disimpan lagi, memang wajar ditukar ketempat lain.

Kepada Nazri, baru tak semestinya mentah. Tetapi yang lamapun tidak sedikit yang mengkal. Kalau selamanya mengkal, buat apa nak disimpan lagi. Memang patut ditukar atau dibuang saja. Gantikan dengan yang baru, dan mampu untuk masak.

SETUJU 4

Dilaporkan terdapat seramai 110 orang warga Malaysia yang terlibat dengan komplot dadah antarabangsa, dan 90% adalah wanita. Jelas sekali golongan ini amat mudah terpedaya dengan janji-janji manis sindiket berkenaan, disamping ada 'nafsu' nak kesenang yang cepat.

Cadangan agar para wanita yang akan keluar negara mendapat persetujuan atau kebenaran ahli keluarganya amat wajar sekali. Dalam Islam telahpun digariskan bahawa wanita mesti ditemani oleh muhramnya apabila keluar rumah. Dalam kes ini, jelas kelihatan hikmahnya.

Wassalam.

Wednesday, April 30, 2008

LIVE FROM PARLIMENT

Assalamualaikum wrb.

Hari ini, 30 April 2008, telah mencatatkan sejarah di tanahair kita. Sempena detik bersejarah ini saya rasa rugi sangat jika tidak dititipkan di sini. Rasanya nak sangat sangat detik ini dikenang dan diingati sampai bila-bila. Bimbang juga jika detik ini hadirnya seketika cuma. Sebab itulah, walaupun dah lama tidak menulis dilaman ini, kali ini digagahi juga agar peristiwa ini dapat diingati.

Terima kasih kepada sahabat lama, Datuk Ahmad Shaberi Chek, kerana telah memecah tembok kegelisahan UMNO selama ini. Betul, selama ini kerajaan BN takut sangat kalau apa yang dibahaskan di Parlimen diketahui ramai.

Bimbang benar jika rakyat tahu bahawa wakil yang mereka pilih kerap sangat tidak hadir. Risau kalau rakyat tengok wakil yang mereka pilih hanya hadir untuk tidur sahaja dalam dewan yang bermaruah itu. Kecut perut juga, jika wakil yang tidak hadir itu, wakil yang sedang tidur itu, tiba-tiba datang dan bangkit ketika mana pengundian akan dijalankan untuk meluluskan sebarang usul, walhal mereka tidak ada sedikit pun fakta mengenai apa yang nak diluluskan. Wakil apakah ini? Kerajaan amat gusar jika rahsia ini terbongkar, jika rahsia ini diketahui oleh rakyat. Sebab itu, ketika laporan parlimen, lensa TV menyuluh ke arah kerusi-kerusi yang dipenuhi. Tang kerusi kosong, maaf kami kena sensored.

Hari ini Datuk Ahmad Shaberi telah merobohkan tembok itu.

Mulai hari ini, jutaan rakyat Malaysia telah 'hadir' ke parlimen untk mengikuti perbahasan didepan mata mereka sendiri. Terima kasih Datuk, terima kasih TV1.

Adapah kesan daripada peristiwa ini?

Adakah sokongan rakyat terhadap kerajaan BN akan bertambah di atas ketelusan Pak Lah yang bersetuju agar perbahasan ini disiarkan secara langsung. Adakah tindakan ini hanya akan meningkatkan populariti Datuk Ahmad Shaberi sahaja, tetapi BN bakal hilang pengaruhnya. Atau adakah tindakan ini hanya menunjukkan kebodohan Datuk Ahmad Shaberi ( Sorry bro, kerana gunakan perkataan teruk ini) kerana memberi laluan kepada para pembangkang untuk menggunakan saluran emas yang selama ini tertutup buat mereka?

Segalanya masih terlalu awal untuk dijangkakan natijahnya.

Namun, yang nyatanya, pihak pembangkang telah menggunakan peluang ini dengan sebaiknya pada sidang hari ini.

Till we meet again, enjoy this wonderful way of life.

Monday, April 14, 2008

Catatan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Assalamualaikum.

Lama sungguh saya tidak 'renew' catatan saya di sini. Disamping tiada idea yang bernas, juga kerana kekangan masa. Masa yang ada sekadar cukup untuk melayari blog-blog lain, yang pada saya lebih menarik untuk diikuti. Antara blog yang seringkali saya kunjungi ialah Sanggahtoksago, Padi-malaysia, Drkhir dan Husammusa. Sudah tentu tak cukup masa kan!

Walau bagaimanapun, apabila menjengah komen-komen dari blog drkhir.blogspot.com hari ini, saya menemui catatan di bawah ini, yang saya rasa amat menarik dan menyayanginya. Takut tak ingat lagi, saya buat keputusan untuk simpan di sini. Tambahan pula boleh dikongsi dengan sesiapa yang sudi. Harap drkhir tak marah, lebih-lebih lagi penulisnya, iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Beginilah catatannya:

Jika Pemerintah Bertaubat Dengan Taubat Nasuha..

Kita semua wajar bersikap adil. Pilihanraya telah pun berlalu. Kita mengundi untuk kebaikan negara. Kita inginkan perubahan ke arah yang lebih positif, adil dan telus. Mesej rakyat kepada parti-parti politik dalam perkara tersebut sudah pun difahami oleh mereka.

Hari ini usaha-usaha ke arah hasrat tersebut kelihatannya sedang giat dilaksanakan. Kerajaan pusat juga telah merangka berbagai cadangan dan gagasan agar ketelusan dan keadilan dapat dilaksanakan. Demikian juga sesetengah kerajaan negeri yang baru dan yang lama. Sokonglah usaha-usaha yang baik serta berikanlah kritikan yang membina.

Politik bukan untuk membalas dendam atau ruang mencurahkan emosi yang tidak sudah-sudah. Sebaliknya, berpolitiklah untuk keadilan dan kebahagiaan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Malanglah kita orang Islam apabila berbalah, melampaui batas. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dukacitalah kita ini, jika dalam percaturan politik kita umat Islam, ‘orang lain’ yang mendapat banyak manfaat dan berjaya memperolehi berbagai tuntutan, sedangkan kita hanya menang ‘tuduh menuduh, bertengkar, bermasam muka, gelar menggelar dan segala macam racun yang lain. Ketika orang lain yang semalamnya bagaikan musuh yang sengit, hari ini sedang berpelukan meraikan kejayaan memperolehi segala macam tuntutan, kita masih lagi bagaikan‘sedang mengasah parang’ untuk meneruskan kematian.

Tuhan sentiasa membuka pintu taubat untuk insan yang bersalah berubah kepada yang lebih baik. Bila-bila masa sahaja taubat itu terbuka apabila timbulnya keinsafan dan kesedaran. Mungkin kesedaran dan keinsafan itu timbul hasil dari nasihat, atau kejadian dan peristiwa tertentu. Kadang-kala insan yang begitu jahat, berubah menjadi insaf disebabkan ketakutan atau penderitaan tertentu, atau peristiwa trajis yang meleburkan keegoannya.

Tidaklah penting apa pun sebab keinsafan itu lahir. Apa yang penting bagaimanakah keinsafan itu dihayati. Maka insan yang insaf disuruh bertaubat dengan taubat yang sebenar atau disebut sebagai taubah nasuha. Allah menyebut dalam Surah al-Tahrim ayat 8 : (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” taubat nasuha”, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai..

Terlaksananya taubat yang sebenar itu dengan seseorang insan menyesali kesalahannya, memohon keampunan daripada Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Jika kesalahan itu membabitkan insan yang lain, maka dia hendaklah membetulkannya dengan mengembalikan hak yang diambil, atau menafikan tuduhan yang dilemparkan.

Jika itu berlaku, maka mereka akan insan tersebut janji Allah dalam firmanNya: (maksudnya) “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah akan gantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Furqan: 70).

Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihanraya yang lepas, perkara yang pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri semua dari krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita semua adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggunjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah.

Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.

Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan. Dengarlah kata-kata Nabi Hud a.s kepada kaumnya seperti dalam Surah Hud ayat 52: (maksudnya) “Dan wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa”.

Inilah penawar bala yang telah dibuka rahsianya oleh Nabi Hud a.s., dan inilah juga yang pernah disebut oleh Nabi Nuh a.s. sebelum itu kepada kaumnya. Kata Nabi Nuh seperti dalam Surah Nuh ayat 10-12: (maksudnya) “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”.

Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa memohon ampun daripada Allah membolehkan rahmat dan keberkatan diturunkan. Allah menambahkan dengan taubat rezeki yang mencurah-curah, kekuatan, harta dan anak-pinak. Maka bertaubatlah wahai para pemerintah, agar kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran akan dikecapi di bawah pemerintahan anda.

Pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan. Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya.

Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas segala kesilapan yang pernah berlaku sepanjang pentadbiran yang lalu. Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat rakyat. Ingatlah amaran Allah apabila sesuatu bala atau ujian ditimpakan kepada sesuatu kaum dalam firmanNya: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kesusahan dan penyakit, supaya mereka merendah diri (insaf dan bertaubat).

Maka Alangkah eloknya kalau mereka merendah diri (insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala perkara (kemewahan dan kesenangan), sehingga apabila mereka bergembira dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”.

Ya Allah! Peliharalah kami dari balaMu! Lihatlah Keamanan kita juga dirasakan makin terhakis saban hari. Kejadian-kejadian yang meragut ketenteraman mula bertali arus. Setiap kita mula bimbang dan risau atas keselamatan diri dan keluarga sekalipun berada dalam rumah sendiri. Polis pun tidak dapat menyelesaikan ketakutan seperti itu. Wahai pemerintah! Hanya Allah yang dapat mengeluarkan kita dari semua itu. Kembalilah kepadaNya!

Perubahan yang berteraskan taubat kepada Allah perlu dilakukan. Kepimpinan utama mestilah tegas dan ikhlas. Insan-insan yang telah terlibat dengan penyelewengan harta rakyat hendaklah dipupuskan. Mereka perlu disiasat secara telus. Bagaimana mungkin kepentingan negara yang diamanahkan untuk dijalankan, lalu dijadikan sumber kekayaan diri yang luar biasa.

Janganlah dihitung sebesar mana pun kedudukannya, atau serapat manapun persahabatan dengannya. Hak rakyat mestilah dipelihara. Tergamakkah seorang insan yang mengaku beriman memenuhi diri dengan kemewahan harta rakyat, sedangkan berapa ramai rakyat yang masih miskin dan susah, hidup dibanjiri airmata.

Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya.

Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di pandang mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat. Wahai pemimpin! Bertaubatlah.

Para pemimpin adalah contoh untuk sekelian rakyat di bawah mereka. Mereka diperhatikan. Kemewahan mereka –jika tidak betul cara- menjadi tanda tanya. Sikap dan perwatakan mereka dipersoalkan. Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat rakyat merasa jelak. Ada yang sehingga ketika artis hindustan datang ke Malaysia yang terlebih boollywood dari boollywood. Sedangkan dia isteri orang besar.

Sebabnya, ramai seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak mungkin ditumbangkan. Mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa mual. Jika pemimpin itu bercakap Islam, buktikanlah menerusi percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri. Jangan berlebih-lebihan, tetapi bersederhanalah dan ikut peraturan. Rakyat tidak bertanya, berapa harga ‘make-up’ datin? Tetapi rakyat akan selalu mengingati kehalusan akhlak dan budi.

Allah pula suka kepada yang merendah diri dan menyayangi sesama muslim. Manusia ini bagaimana pun wataknya, hati nuraninya akan terasa hormat kepada orang yang mengingati Allah dalam ertikata yang sebenar. Diterjemahkan ingatan itu dalam bentuk tawaduk dan ketertiban sikap. Wahai pemimpin! Lakukanlah perubahan kerana Allah dalam hal ini. Nanti rakyat akan menyayangi anda.

Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Saya kadang-kala melihat seakan generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai.

Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai pandangan yang jelas dan terurus tentang masa depan negara. Lalu kita bising hilangnya nilai-nilai patriotik dalam jiwa jenerasi baru, padahal kita sendiri yang seakan memandulkan minda dan fitrah mereka. Barangkali kita suka, kerana dengan demikian, mereka tidak banyak mempersoalkan kita. Mendidik rakyat adalah tanggungjawab pemimpin yang Allah amanahkan. Bertaubatlah kepada Allah, betulkan perjalanan masa depan negara ini.

Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat!. Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah.

Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana. Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun)”. (Surah al-Anfal: 33).

Maka, jadikanlah kerajaan yang sedang merubah dirinya itu sebagai kerajaan yang bertaubat dari segala bentuk ketidakadilan dan ketidaktelusan. Seperti mana insan yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan merendah diri kepada Allah, demikian hendaknya kerajaan yang bertaubat.

Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekelian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki dari kemelutkan yang ada.

Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘Araf: 96).

- DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN
MUFTI PERLIS
(drmaza.com)

Sunday, April 13, 2008

Tuesday, March 18, 2008

MENARIK HARI INI

Assalamualaikum.

Apabila membaca akhbar hari ini, banyak sekali peristiwa menarik yang berlaku. Tambahan pula pada tengahari tadi, Pak Lah telah mengistiharkan barisan kabinet barunya. Ramai muka-muka baru yang telah dilantik. Mungkin inilah orang Pak Lah dan orang Najib. Secara tak langsung ramailah muka-muka lama digugurkan, dan tentunya mereka dianggap sebagai saki-baki 'orang Mahathir'. Pastilah KJ tidak disenaraikan, sebab ramai yang percaya beliau adalah salah satu faktor kekalahan teruk BN kali ini.

Pak Lah nak elak lebih banyak kontroversi lah tu...

Apa yang menarik dilaporkan oleh akhbar-akhbar hari ini?

1. Fail hilang dipejabat MB Kedah. Yang ada hanyalah kerusi meja dan sebuah laptop sahaja.

Agaknya bekas MB tu tak guna sistem fail timbul lagi dah. Semuanya ada dalam laptop tu kot...

2. Kelmarin (17/3/2008) Ku Li telah mengutus surat kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO seluruh negara, mengusulkan supaya diadakan satu mesyuarat khas pada 11 Mei ini bersempena dengan hari ulang tahun UMNO. Mesyuarat ini bertujuan untuk mengenal pasti mana-mana kesilapan BN dalam PRU12 lalu. Peliknya, Anuar Musa pula berkata mesyuarat khas seperti itu tidak perlu dilakukan, atas dasar masalah parti tidak harus dibincangkan secara terbuka.

Ku Li ada hasrat lain ke... Mungkin nak duduk di Istana Putrajaya pula setelah percubaan pada zaman Mahathir dulu tidak kesampaian. Kau orang berduakan pernah satu kapal, ada baiknya Ku Li jangan ganggu gugat Pak Lah sekarang. Buat-buat baiklah dulu. Masa Najib cabar Pak Lah kelak, barulah masuk jarum. Kot-kot masa tu ada rezki...

3. Sahlah MB Perak dan MB Perlis angkat sumpah jawatan hari ini. Semoga selamatlah semuanya. Selamat berkhidmat dan harap-harap tidak adalah sebarang kecoh lagi.

Orang Terengganu macammana? Nak tunggu PRU13 ke....

4. MB Kedah dah umumkan penurunan cukai tanah sehingga 30%. Kerajaan Selangor pula sedang dalam proses untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma setiap bulan untuk kegunaan domestik. Baru-baru ini KM Pulau Pinang mengumumkan tunggakan bayaran parking kereta dan sewa dimansuhkan.

Nampaknya kerajaan BR tidak berjanji kosong. Sesiapa yang tidak undi BR hari tu, baiklah fikirkan semula pada PRU13 nanti. Namun, bab turun dan percuma ni, rasanya eloklah negeri-negeri lainpun ambil tindakan yang sama. Pasti naik saham...

Banyak lagi yang menarik dalam akhbar hari ini,tapi dah lewat dah ni...Jumpa lagi lah!

Monday, March 17, 2008

THE NEW EPISODE

Hari ini beberapa MB baru telah disahkan jawatannya. Di Perak, sahlah Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, sebagai MB yang baru. Majlis mengangkat sumpah Adun PAS Pasir Panjang ini terpaksa ditangguhkan beberapa hari lalu kerana karenah DAP diikuti oleh bantahan oleh PKR. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga parti telah sepakat untuk bekerjasama dalam mentadbir Perak. Apa yang menarik untuk kita tunggu dan lihat, adakah pakatan ini akan kekal tenang, atau bakal kecoh sebagaimana sebelumnya.

Di Perlis, sejak beberapa hari ini kecoh sedikit, sampaikan orang Perlis sendiri tidak tahu siapa yang menjadi MB mereka. Namun hari ini segala persoalan telah terjawab. Atas sokongan majoriti ADUN dan atas perkenan Raja Perlis, Datuk Dr. Mat Isa Sabu, Adun Bintong dengan rasminya mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baru. Apalah nasib Syahidan selepas ini. Ini yang seronok untuk dilihat. Adakah beliau akan menjadi pembangkang kepada kerajaannya sendiri, atau bakal berakhir dengan perletakan jawatan.

Sehingga kini, semua negeri sudahpun mempunyai MB atau KM masing-masing. Kelantan, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah mengekalkan MB/KM yang lama. 4 negeri mendapat MB/KB yang baru, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. MB Terengganu masih belum mengangkat sumpah jawatan. Adakah benar khabar angin yang bertiup, bahawa MB lama tidak diperkenankan oleh Sultan Terengganu. Mungkin dalam sehari dua lagi teka-teki ini akan terjawab.

Banyak kejutan yang muncul melalui PRU12 ini. Kemenangan besar parti-parti pembangkang dalam sejarah negara, sehingga boleh memerentah di lima buah negeri. Sejarah juga mencatatkan buat pertama kalinya UMNO malalui pakatan BN gagal mencapai kemenangan majoriti 2/3 di parlimen. Tewasnya nama-nama besar dalam politik tanah air yang juga merupakan pengerusi-pengerusi parti gabungan BN, iaitu Samy Vellu (MIC), M. Kaveas (PPP), serta Koh Soo Koon (Gerakan) seakan sukar dipercayai.

Rasanya buat pertama kalinya dalam sejarah negara, ada menteri besar tidak dilantik semula untuk memegang jawatan itu. Dan paling menarik, pada pandangan saya, sultan-sultan kelihatannya baharu nak menunjukkan kuasanya, yang pada pandangan ramai, selama ini sultan-sultan hanya menerima sahaja nasihat/pandangan menteri besarnya.

Inilah The New Episode politik tanah air. Kita tunggulah The Next Episode. Mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang bakal dicatatkan dalam sejarah negara kita.

Sunday, March 16, 2008

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum wrb.

TRALAYAN adalah satu medan intuk kita saling berkongsi idea dan maklumat di ruang siber ini. Selamat datang dan terimalah salam perkenalan dari saya.

Sehari dua ini kita diselubungi oleh isu-isu pascapilihanraya. Banyak perkara menarik yang berlaku. Semuanya bakal merancakkan lagi medan pilitik di negara kita. Apa yang berlaku hari ini pastinya akan mendatangkan kesan kemudian hari. Lagi banyak perkara menarik yang bakal berlaku. Tak sabar rasanya nak tunggu. Banyak lagilah yang akan dapat dikongsi bersama. Akan banyak lagilah peristiwa-peristiwa yang bakal diabadikan sebagai sejarah negara. Pasti seronok melalui semua ini. Dan juga pasti mendebarkan.

Dalam masa yang terdekat ini, pastinya kita tertunggu-tunggu perkembangan di Terengganu dan Perlis. Akan selesaikah masalah di Perak setelah MB baru mengangkat sumpah esok. Berapa lamakah kerajaan pakatan BA mampu bertahan di Perak dan Selangor, apa akan jadi kepada Pak Lah dan UMNO selepas ini, dengar-dengar pemilihan pucuk pimpinan baru di setiap bahagian dan negeri akan bermula sekitar Julai atau Ogos ini, Pulau Pinang macam mana? Mampukan kerajaan PAS di Kedah bertahan selama di Kelantan, apakah nasib Mukhriz selepas ini, nasib KJ pula macam mana???

Seronok, memang seronok, berwarna-warni betul arena politik negara kita . . . .