BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, November 23, 2009

SEMUA KENA BACA

Pada Julai 2008, PI Bala tiba-tiba hilang dari bumi Malaysia. Segala usaha media untuk menjejakinya gagal menemui sebarang punca. Bala adalah seorang yang sangat penting dalam kes pembunuhan Altantuya. Sehari sebelum kehilangannya, beliau telah mendedahkan dalam akuan bersumpaahnya bahawa seorang yang sangat penting terlibat dalam pembunuhan itu. Namun, keesokannya beliau talah mengeluarkan akuan bersumpah kedua, yang bertentangan dengan akuan bersumpah yang pertama.

Jom kita pakat berkunjung ke "Malaysian Today" ataupun ke "GoMalaysian" untuk edisi terjemahan, tentang pengakuan Bala berkenaan 'kehilangannya' itu. Banyak pendedahan penting dan peristiwa yang berlaku, orang-orang yang terlibat dan apa yang menyebabkan dia menghilangkan diri.

Kita pakat cetak dan sebarkan, biar semua suku sakat kita tahu kisah ini. Nak percaya ke tidak, fikir-fikirlah....

Thursday, November 19, 2009

MACAM-MACAM HAL

Hari ini Khamis, 19 Nov. merupakan hari terakhir persekolahan di beberapa negeri. Hari ini juga merupakan hari kedua peperiksaan SPM dijalankan.

Sebagai hari terakhir persekolahan, suasananya memang sibuk. Pelajar juga dah berkurang yang hadir ke sekolah, kalau adapun untuk mengadakan jamuan akhir tahun kelas masing-masing.

Pagi ini hujan masih turun, tetapi tidaklah selebat semalam. Namun masih ada calon-calon SPM yang lewat hadir ke sekolah. Entah apalah sikap bebudak sekarang, peperiksaan macam hari biasa je, tak nampakpun mereka itu ambil serius, datang awal misalnya, terutama pada hari-hari hujan seperti hari ini.

Kertas 2 BI akan diadakan pada jam 10.30 pagi. Dalam pada para pelajar bergerak memasuki dewan peperiksaan, tiba-tiba kedengaran suara-suara cemas mengatakan ada pergaduhan berlaku. Dalam keadaan macam ni pun masih sempat nak tunjuk hero. Sekelas pulak tu. Berdarah-darah lagi. Oleh kerana dah nak masuk dewan peperiksaan, terpaksalah dibiarkan dulu kes itu. Lepas-lepas ni kita 'settle'kan lah.

Kertas BI, biasalah bebudak kelas belakang ni siap awal. Pengawas peperiksaanpun benarkan mereka keluar awal, sebelum masa yang sepatutnya. Memang dah begitu kebiasaannya. Tup-tup, ada maklumat mengatakan mereka bergaduh kat luar sekolah pulak. Tak habis kes lagi rupanya. Lantak merekalah, biar polis yang ambil kes.

Petang, jam 2 ada paper sejarah 2 pulak. Guru dan pelajar kelas biasa dah pulang. Terpaksalah kami beberapa orang guru memantau keadaan. Bimbang juga kalau 'kes' belum selesai lagi. Tunggu punya tunggu, jam 2.15 baru kelihatan kelibat salah seorang daripadanya. Yang sorang lagi tak nampak-nampak. Tak nak ambil exam lah agaknya. 2.30 keadaan dah tenang, tak ada lagi kelibat pelajat yang lewat.

Dalam nak beredar untuk pulang tu, kami dikejutkan pula dengan bunyi tapak kaki yang berlari menuruni tangga. Kelihatanlah dua orang pelajar perempuan yang tak nampak rupa lagi. Putih melepak, bukan sahaja muka, malah seluruh pakaiannya. Mereka bermandikan tepung rupanya. Ni pula kes bebudak yang main baling tepung setelah selesai makan-makan dalam jamuan yang mereka adakan. Bengang betul aku. Jamuan hanya dibenarkan diadakan disekitar sekolah, bukannya dalam kelas. Mereka dah ambil kesempatan dalam kesibukan guru-guru hari ini. Sepatutnya masa ni mereka dah balik, rupanya masih ada yang nak main-main lagi.

Geram dengan itu, aku terus naik ke kelas tingkat tiga tu. Memang dah senyap sunyi pun. Namun, kelas lintang pukang. Tepung bertaburan di mana-mana; lantai, kerusi dan meja, habis putih. Sampah bertaburan, kerusi meja berselerakan. Panas...panas.

Masih sangsi, aku check kelas lain pula. Ada sebuah kelas lagi yang keadaannya seperti itu. Waduh.... Namun, apa yang aku jumpa selepas itu lagi terbakar rasanya. Sepasang budak lelaki dan perempuan berada dalam keadaan yang mencurigakan. Hanya mereka berdua sahaja. Yang perempuan tu pulak, siap buka tudung lagi. Syukur kerana aku digerakkan untuk check kelas-kelas itu. Kalau tidak, mungkin terjadilah peristiwa yang kita semua tak nak berlaku pada anak-anak kita. Aku halau mereka balik. Malas nak layan lagi dah.....l

Tuesday, November 17, 2009

PROGRAM MUSIM CUTI SEKOLAH

Sekolah akan mula bercuti pada Khamis atau Jumaat ini bergantung di negeri mana anda berada. Elok juga kita mula memikirkan aktiviti-aktiviti berfaedah bagi mengisi masa anak-anak kita. Mungkin ada sebahagian daripada kita dah bercadang untuk membawa anak-anak pergi melancong atau berkunjung ke tempat-tempat rekreasi. Elok juga tu, dapat juga lapangkan fikiran serta mendapat senario dan idea baru.

Lama juga cuti ni, lebih kurang 6 atau 7 minggu. Takkan setiap minggu nak melancong. Pokai lah jawabnya. Lainlah kalau anda jenis yang tak sayangkan duit, dan tak kesah akan soal jawab di akhirat kelak.

Dalam pada itu, cubalah tengok-tengok iklan kat masjid tu, mungkin ada program atau aktiviti yang lebih baik daripada melancong ke sana sini tu.

Apa kata kalau kita isi masa anak-anak kita tu dengan menghantar mereka ke kem-kem ibadah yang dijalankan kat mana-mana. Mungkin banyak masjid yang menganjurkan kem-kem seperti ini. Malah, NGO Islamik juga turut menganjurkannya. Bayarannya, sudah tentu jauh lebih murah daripada kos melancong tu.

Mungkin anda memikirkan aktiviti yang lebih baik dan memakan masa yang lebih lama, sekurang-kurangnya sepanjang masa cuti persekolahan ini. Untuk itu, saya syorkan anda menghantar anak-anak anda ke program tahfiz. Program ini juga banyak dianjurkan dengan kos yang berpatutan.

Menariknya progran tahfiz ini, penganjur bukan sahaja menekankan kepada menghafaz al-Quran sahaja, tetapi turut diisi dengan fardhu ain, seperti mendirikan solat dengan betul. Selain itu, anak-anak kita juga dapat merasai suasana kehidupan yang lebih islamik seperti amalan mendirikan solat secara berjamaah.

Sama ada program seperti ini berkesan atau tidak bergantung kepada banyak faktor. Untuk hidup serta mengamalkan Islam sebenar, tentunya tidak memadai dengan program yang sebulan dua itu. Namun, sekurang-kurangnya anak-anak kita menyedari bahawa mereka adalah orang Islam.

Monday, November 16, 2009

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM DAN STPM

2009 menghampiri penghujungnya. Esok lusa, sekolah akan ditutup. Hanya bebudak yang ambil pereksa saja akan terus berkunjung ke sekolah buat seminggu dua ni.

Sehari dua ni, kebanyakan sekolah menunaikan solat hajat. Maka berduyun-duyunlah ibu bapa yang sebelum ini tak pernah kenal pintu pagar sekolah, bersama-sama warga sekolah menunaikan solat hajat. Alhamdulillah, bab-bab yang macam ni ibu bapa kita memang boleh dipuji. Ini merupakan satu tanda mereka sayangkan anak-anak serta menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah. Semoga bebudak tu turut menghargai pengorbanan ibu bapa mereka, maka dengan itu mereka tidak akan menghampakan harapan kedua orang tuanya.

Buat pelajar-pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM, diharap anda semua sudah bersedia secukupnya. Selain harapan ibubapa, pihak sekolah dan guru-guru juga pastinya mengharapkan kejayaan cemerlang daripada anda semua. Paling penting adalah harapan anda sendiri. Kejayaan anda adalah masa depan anda. Peluang anda untuk memilih universiti dan kursus yang telah anda cita-citakan sejak dulu, seterusnya, menentukan kerjaya masa depan anda.

Selain usaha anda menelaah pelajaran, jangan lupa solat dan berdoa. Mohon kepada Allah agar diberkati apa yang telah anda usahakan selama ini. Tapi, harus diingat, doa dan solat merupakan pelengkap usaha. Kalau diminum sepuluh tong air air solat hajat pun, tanpa disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, belum tentu kejayaan akan berpihak kepada kita. Allah tidak akan mengubah nasib kita tanpa kita sendiri yang berusaha mengubahnya.

Akhir sekali, mohonlah restu daripada kedua ibu bapa anda. Mohon diampunkan segala dosa-dosa kita terhadap mereka. Mudah-mudahan, anda memperoleh keberkatan sepanjang menduduki peperiksaan ini.

Selamat menduduki peperiksaan. Semoga memperoleh kejayaan cemerlang.