BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, November 16, 2009

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM DAN STPM

2009 menghampiri penghujungnya. Esok lusa, sekolah akan ditutup. Hanya bebudak yang ambil pereksa saja akan terus berkunjung ke sekolah buat seminggu dua ni.

Sehari dua ni, kebanyakan sekolah menunaikan solat hajat. Maka berduyun-duyunlah ibu bapa yang sebelum ini tak pernah kenal pintu pagar sekolah, bersama-sama warga sekolah menunaikan solat hajat. Alhamdulillah, bab-bab yang macam ni ibu bapa kita memang boleh dipuji. Ini merupakan satu tanda mereka sayangkan anak-anak serta menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah. Semoga bebudak tu turut menghargai pengorbanan ibu bapa mereka, maka dengan itu mereka tidak akan menghampakan harapan kedua orang tuanya.

Buat pelajar-pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM, diharap anda semua sudah bersedia secukupnya. Selain harapan ibubapa, pihak sekolah dan guru-guru juga pastinya mengharapkan kejayaan cemerlang daripada anda semua. Paling penting adalah harapan anda sendiri. Kejayaan anda adalah masa depan anda. Peluang anda untuk memilih universiti dan kursus yang telah anda cita-citakan sejak dulu, seterusnya, menentukan kerjaya masa depan anda.

Selain usaha anda menelaah pelajaran, jangan lupa solat dan berdoa. Mohon kepada Allah agar diberkati apa yang telah anda usahakan selama ini. Tapi, harus diingat, doa dan solat merupakan pelengkap usaha. Kalau diminum sepuluh tong air air solat hajat pun, tanpa disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh, belum tentu kejayaan akan berpihak kepada kita. Allah tidak akan mengubah nasib kita tanpa kita sendiri yang berusaha mengubahnya.

Akhir sekali, mohonlah restu daripada kedua ibu bapa anda. Mohon diampunkan segala dosa-dosa kita terhadap mereka. Mudah-mudahan, anda memperoleh keberkatan sepanjang menduduki peperiksaan ini.

Selamat menduduki peperiksaan. Semoga memperoleh kejayaan cemerlang.

0 comments: